Tuesday, 6 November 2012

Bab 1.

Riddah dan Kepala Lembu

Ucapan Bismalah dan Salam

Para jemaah baru sahaja selesai menyempurnakan solat Maghrib dan solat sunat Maghrib ba’diah, salah satu dari solat-solat sunat rawatib. Masing-masing duduk menunggu untuk mendengar kuliah Maghrib yang telah dijadualkan pada malam itu. Perlahan-lahan Ustaz Mohsein maju kehadapan mengambil tempat yang telah disediakan untuk penceramah. Setelah duduk, dia membetulkan alat pembesar suara. ”Assalamualaikum waroh matullahi ta’ala wabarokatuh”. Ustaz Mohsein membuka majlis ilmunya dengan ucapan salam.
Kedapatan juga beberapa penceramah yang mendahului ucapan mereka dengan bacaan bismalah, kemudian baru mengucapkan salam. Amalan begini mungkin berdasarkan kepada kefahaman bahawa semua perbuatan yang menjurus kepada taat atau ibadah kepada Allah, seperti makan, memakai pakaian, memula perjalanan, memulakan kerja dan seumpamanya hendaklah dimulai dengan ucapan bismallah. Tetapi mereka mungkin tidak mengetahui ada pengecualiannya, iaitu apabila memulakan ucapan atau berjumpa dengan sahabat.
”Kita tidak menyapa sesaorang dengan ucapan bismalah kemudian memberi  salam seperti:  ”Bismillahirrohmanirrohim, Assalamu’alakum Mat!” Tidak begitu. Tidak dibuat orang melainkan terus memberi salam, ”Assalamu’alaikum Mat”.
Sebab itu dalam menyampaikan khutbah, khatib akan memberi salam terlebih dahulu, bukannya bacaan bismallah”. Begitulah penjelasan dari guru-guru tua.

Setelah membaca beberapa ungkapan puji-pujian kepada Allah, bersolawat dan salam keatas Nabi Muhammad saw, Ustaz Mohsein berdoa;

“Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”.

Ada yang mengatakan doa ini adalah sebahagian dari doa Nabi Musa as dan para penceramah biasanya tidak akan meninggalkan doa ini sebelum memulakan ceramah mereka. Selesai berdoa, Ustaz Mohsein pun memulakan ceramahnya:
”Tuan-tuan, puan-puan, saudara, saudari, dan anak-anak yang dikasihi lagi dirahmati Allah. Berhati-hatilah kita dalam menjalani kehidupan yang sementara ini, supaya tidak terjerumus kedalam gejala Murtad atau Riddah. Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang bermaksud; 
"Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak".
Sahabat bertanya "Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?"
"Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu,pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir balik."
Sahabat bertanya lagi. "Mengapa begitu ya Rasullullah?" Rasullullah SAW menjawab, sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia".
Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali pula pernah berkata,
"Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap."

Riddah

Fakih menarik nafas panjang sambil beristigfar. ”Astagfirulla hal’azim”. Kalau kita berada dimalam yang gelap gelita, tidak mungkin kita nampak seekor semut hitam merayap diatas batu yang juga hitam. Kalau mata kucing, mungkin boleh. Fikir Fakih.
”Maknanya, ada manusia yang tidak sedar, samada tingkah lakunya, perbuatannya atau percakapannya, telah menyebabkan ia murtad disisi Allah. Ini disebabkan oleh kejahilan manusia itu sendiri dalam beragama. Ini tidak pula bermakna, manusia yang tergolong dalam golongan orang yang terpelajar dengan ilmu-ilmu islam, terkecuali dari murtad. Mereka yang terpelajar ini juga boleh murtad tanpa mereka sedari, sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw secara umum, mereka menjual agama dengan nilai dunia.” kata Ustaz Mohsein.
”Pada hari ini telah wujud satu golongan dikalangan orang Melayu yang mempertikaikan hukum hudud khususnya yang melibatkan murtad atau riddah. Mereka kata  hukum hudud riddah ini direka-reka oleh para ulama khususnya ulama yang menyokong parti Islam. Mereka mendakwa para ulama ini mereka-reka hukuman terhadap orang yang murtad dengan mengatakan bahawa orang-orang yang murtad hendaklah dibunuh. Sedangkan, kata mereka, tidak ada didalam al-Quran ayat yang mengatakan orang yang Murtad mesti dihukum bunuh. Dengan yang demikian, para ulama ini khususnya yang menyokong Parti Islam adalah sesat”. Kata Ustaz Mohsein lagi.
”Tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari yang dirahmati Allah. Mengapa secara tiba-tiba isu murtad ini mendapat perhatian didalam masyarakat kita? Mengapa pula timbul tuduhan mengatakan hukum bunuh terhadap orang yang murtad adalah rekaan para ulama. Adakah disebabkan para ulama ini yang menyokong perjuangan parti Islam menyebabkan mereka dituduh mereka-reka hukum yang begitu keras? Dengan erti kata lain  mengapa pula kepartian dikaitkan dalam masalah ini? ” Ustaz Mohsein melemparkan pertanyaan dan kemudian dia diam sebentar memberi laluan kepada para jemaah berfikir.
”Mengapa secara tiba-tiba isu murtad ini mendapat perhatian didalam masyarakat kita? Pada hemat saya, ia bermula apabila seorang Mufti mengeluarkan kenyataan bahawa ribuan orang Melayu kini telah terjerumus kedalam permasalahan murtad.” Semua jemaah terdiam apabila Ustaz Mohsein berkata sedemikian.
”Mengapa pula timbul tuduhan mengatakan hukum bunuh terhadap orang yang murtad adalah rekaan para ulama? Untuk menjawab soalan ini, saya rasa ada beberapa kemungkinan. Yang pertama, golongan yang membuat tohmahan seperti ini adalah golongan yang hanya menerima al-Quran sebagai sumber hukum. Mereka mendakwa, tidak ada satu pun ayat al-Quran yang menyatakan dengan khusus orang-orang yang murtad hendaklah dibunuh. Mereka ini juga mempertikaikan hadis-hadis Nabi Muhammad saw. Dengan kata lain, mereka ini adalah segelintir orang Melayu yang telah terpengaruh dengan dakyah golongan anti hadis.
Yang kedua, tuduhan seperti itu dibuat oleh segolongan orang Melayu yang berpelajaran, yang educated, tetapi lemah dalam ilmu agama. Mereka banyak membaca buku-buku yang membahaskan isu-isu agama khususnya yang ditulis oleh sarjana-sarja barat dan orientalis. Malangnya, mereka tidak mempelajari kaedah yang digunapakai oleh para ilmuan islam dan alim ulama dalam mengkaji sesuatu hukum. Mereka ini mementingkan logik akal untuk menyelesaikan masalah agama.
Yang ketiga, tuduhan seperti itu sengaja dibuat oleh orang tertentu untuk memburuk-buruk para ulama terutamanya para ulama yang menyokong perjuangan parti Islam. Mereka sengaja melemparkan tuduhan seperti itu semata-mata kerana kebencian mereka terhadap golongan ulama yang tidak jemu-jemu memperjuangkan Islam. Pada pandangan mereka, para ulama ini adalah golongan yang menghalang mereka dari mencapai cita-cita politik mereka.” Ustaz Mohsein memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukannya.
”Apa itu murtad?” Tanya Ustaz Mohsein lagi.
”Menurut istilah syara’, murtad atau riddah bermaksud kembali dari agama Islam kepada agama kafir, samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan. Ijma’ ulama’ menyatakan bahawa seseorang Islam yang ingkar kepada apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah seperti yang termaktub didalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw, maka dia murtad, iaitu terkeluar dari jemaah Islam kecuali jika dia benar-benar jahil. Sekiranya orang itu jahil dalam agama, tidak tahu perkara tersebut boleh menyebabkan dia terkeluar dari Islam, maka hendaklah diperjelaskan kepadanya dengan hujjah-hujjah yang sesuai, mudah mudahan Allah memberi kefahaman kepadanya dan kembali bertaubat. Sekiranya dia masih tetap dengan pendiriannya yang sesat itu, tidak mahu menerima kebenaran agama, maka dia termasuk kedalam golongan orang yang murtad.”
Ini bermakna sesaorang itu boleh terkeluar dari jemaah Islam melalui tiga cara iaitu, dia berniat untuk keluar Islam, seperti yang berlaku sekarang ini dimana ribuan orang Melayu memohon untuk murtad. Walaupun disisi undang-undang negara mereka belum murtad tetapi disisi Allah, mereka telah murtad. Atau melalui perbuatannya seperti tidak mendirikan solat, tidak berpuasa dibulan Romadhan, tidak mengeluarkan zakat kerana beranggapan perkara-perkara tersebut tidak diwajibkan didalam Islam. Atau melalui percakapan, seperti mengatakan al-quran itu tidak sesuai lagi dizaman milenium ini. Hukum-hukum dalam al-quran itu telah ketinggalan zaman, hanya sesuai dizaman unta.” Ustaz Mohsein menjelaskan maksud murtad.
Ustaz Mohsein seterusnya membacakan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang mafhumnya:

[2:217] Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia dalam keadaan kafir (ingkar), maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (buat selama-lamanya).

”Didalam Islam terdapat beberapa istilah yang perlu difahami betul-betul iaitu Syirik, Murtad, Nifaq dan Fasik. Orang-orang Melayu dizaman Milenium ini ramai yang termasuk kedalam salah satu dari empat golongan ini. Insya’allah akan saya huraikan maksud istilah-istilah tersebut satu persatu” sambung Ustaz Mohsein lagi.
”Tuan-tuan, puan-puan, saudara, saudari yang dikasihi sekelian. Hukum Hudud jangan dibuat main. Kalau tak mampu untuk melaksanakannya, jangan pula ia dicela. Dari hadith-hadith sahih, terdapat sembilan perkara yang tergolong dalam hukum hudud. Ia itu Riddah atau keluar dari agama Islam, Zina, Qazaf atau menuduh berzina, Mencuri atau Sariqah, Merompak atau Muharabah, Memberontak atau al-baghyu, Minum arak atau minuman yang memabukkan, Liwat yakni amalan kaum Luth, dan hubungan sex dengan haiwan” jelas Ustaz Mohsein.
”Hukum hudud adalah sebahagian dari hukum jenayah yang telah ditentukan oleh Allah. Saya tegaskan lagi, ia adalah ketentuan Allah swt bukan ketentuan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw tidak bercakap mengikut nafsunya. Allah swt telah berfirman dalam surah an-Najmu ayat 3 hingga 5 yang mafhumnya,

[53:3] Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
[53:4] Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
[53:5wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah,

Allah berfirman yang termaktub dalam surah an-Nisaa’ ayat 115 mafhumnya,

[4:115Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

"Maknanya hukum hudud itu wajib dipatuhi, diterima pakai, dilaksanakan dalam kehidupan dan diperjuangkan perlaksanaannya oleh setiap diri yang beriman, yang melafazkan dua kalimah syahadah” sambung Ustaz Mohsein.

”Mari kita lihat beberapa hadis berkaitan dengan murtad ini. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Ibnu Mas’ud ra yang membawa maksud tidak halal darah sesaorang muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara; Tayyib atau duda atau janda yang berzina, qisos nyawa dengan nyawa, dan orang yang menukar agamanya yang terpisah daripada jemaah yakni kaum muslimin.
At-Thabarani pula meriwayatkan hadis dari Mu’as bin Jabal yang bermaksud mana-mana lelaki yang murtad daripada Islam, hendaklah kamu menyerunya supaya kembali kepada Islam jika dia mahu.Jika tidak, pancunglah tengkuknya. Dan mana-mana perempuan yang murtad, hendaklah kamu menyerunya supaya kembali kepada Islam jika dia mahu. Jika tidak, pancunglah tengkuknya.
”Dari hadis-hadis yang telah saya sampaikan tadi, jelas menunjukkan hukum hudud untuk orang yang murtad atau riddah adalah dibunuh. Dengan yang demikian, mengapa terdapat segolongan orang Melayu yang menyanggah ketetapan tersebut dengan mengatakan ia tidak dinyatakan oleh Allah didalam al-quran, atau ia hanyalah rekaan para ulama yang menyokong parti Islam?” Ustaz Mohsein kembali kepada isu pokok yang hendak disampaikannya.
”Seperti yang saya nyatakan diawal tadi, telah wujud segolongan orang Melayu yang hanya berpegang kepada al-quran sebagai sumber hukum. Mereka mempertikaikan hadis-hadis Nabi Muhammad saw. Dengan kata lain, mereka ini adalah segelintir orang Melayu yang termasuk dalam golongan anti hadis. Mereka mengatakan al-quran itu telah pun sempurna, sesuai untuk segenap zaman, tak perlu kepada hadis Nabi Muhammad saw. Kita mengakui sememangnya al-quran itu telah sempurna tetapi kita perlu kepada Nabi Muhammad saw untuk menghuraikan isi kandungan al-Quran. Mereka menolak hadis Nabi Muhammad saw kerana mereka merasakan al-quran itu boleh ditafsir mengikut pemikiran logik mereka mengikut masa dan kesesuaian zaman.” Ustaz Mohsein berhenti sebentar dan mengambil segelas air yang siap tersedia dihadapannya untuk membasahkan tekak yang telah mula kering.
”Kita mengakui bahawa al-quran itu sesuai untuk sebarang masa dan zaman kerana ia adalah kata-kata Allah, tetapi al-Quran itu tidak boleh ditafsir mengikut logik pemikiran akal masing-masing. Mengapa al-Quran tidak boleh ditafsir mengikut logik akal manusia? Kita ambil contoh, sekiranya timbul suatu isu, berkemungkinan isu itu logik kepada si A tetapi tidak logik pada si B. Jika ini berlaku, sesuatu ayat al-Quran akan ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran mengikut logik sipenafsir yang akhirnya menjurus kepada percanggahan pendapat. Oleh yang demikian kita perlu kepada hadis Nabi Muhammad saw yang berfungsi sebagai memperjelaskan sesuatu ayat al-quran.” Ustaz Mohsein berhenti sebentar.
Golongan yang hanya berpegang kepada al-Quran sebagai sumber hukum mengatakan bahawa tidak ada satu ayat pun didalam al-Quran, di mana Allah memerintahkan secara khusus supaya orang murtad dihukum bunuh. Dengan itu, hukuman berkenaan hanyalah rekaan para ulama sahaja. Golongan ini samalah dengan golongan Azariqah daripada puak Khawarij yang menyatakan hukum rejam sampai mati terhadap perzina muhsan adalah tidak wujud kerana Allah swt tidak menyebutnya didalam al-Quran. Mereka berhujjah, memandangkan hukuman itu amat berat, tidak mungkin Allah swt tidak menyebutnya didalam al-Quran”.
”Kalau begitu hujjah mereka, mari kita lihat masalah solat. Didalam al-Quran, Allah memerintahkan kita umat Islam supaya mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Saya nak bertanya kepada mereka ini, cuba kemukakan hujjah dari al-Quran, ayat-ayat yang menyatakan atau menetapkan bilangan roka’at untuk setiap solat waktu. Solat subuh berapa roka’at, solat Zohor berapa, Azar berapa, Maghrib berapa, Isya’ berapa?. Kalau mereka dapat menunjukan didalam al-Quran bilangan roka’at-roka’at tersebut, saya nak tengok, siapa pengeluar dan pencetak al-Quran tersebut. Manalah tahu kalau-kalau sudah wujud al-Quran palsu” kata Ustaz Mohsein.

”Cara mendirikan solat tidak diperincikan didalam al-quran. Sebab itu Rasulullah saw mengarahkan kita supaya mendirikan solat sebagaimana baginda melaksanakannya. Sebab itu kita perlukan hadis Nabi Muhammad saw untuk memperjelaskan isi kandungan al-Quran. Jelas sekali, golongan yang menerima pakai al-Quran sahaja sebagai sumber hukum sebagai golongan yang terkeluar dari Islam, murtad. Perlu saya perjelaskan, sumber hukum didalam Islam mengikut ahlul sunnah wal jamaah adalah al-Quran, hadis Nabi Muhammad saw, ijma’ ulama dan qias.” kata Ustaz Mohsein lagi.
”Satu golongan lagi mengatakan bahwa hukum bunuh ke atas si murtad yang tidak bertaubat dan kembali kepada Islam setelah diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa, bukanlah satu hukum yang disepakati di kalangan ulama Islam. Golongan ini terdiri dari orang Melayu yang berpelajaran, yang educated, tetapi lemah dalam ilmu agama. Mereka ini sebenarnya tidak menguasai bahasa Arab, apatah lagi bahasa Arab yang digunapakai oleh para ulama’ silam. Mereka juga tidak mempunyai asas yang kuat dalam bidang syariah dan pengajian Islam. Ada juga yang tidak membaca sendiri naskah asal yang ditulis oleh para ulama, sebaliknya mereka mengambil pendapat ulama berkenaan melalui tulisan-tulisan atau cakap-cakap yang dibuat oleh pihak kedua, ketiga, dan seterusnya. Tidak hairanlah kita, bila mereka mengatakan berlakunya perbezaan pendapat diantara para ulama. Oleh kerana hukuman itu tidak disepakati oleh ulama seperti yang mereka dakwa, maka mereka berpendapat pihak berkuasa atau pemerintah yang tidak memperkanunkan hukum bunuh terhadap orang yang murtad dianggap tidak berdosa. Mereka ini  juga biasanya menggunakan logik akal untuk menyelesaikan masalah agama.
Antara ulama yang mereka dakwa berpendapat si murtad tidak dibunuh, adalah Ibrahim al-Nakha`ie, Sufyan al-Thawri, Shamsuddin al-Sarakhsi dan Abu al-Walid al-Baji. Mereka berhujjah, definisi ijma` ulama ialah persepakatan seluruh ulama mujtahidin daripada umat Islam pada sesuatu zaman selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. dalam sesuatu hukum syar`ie". Oleh kerana tidak ada persepakatan seluruh ulama mujtahidin dalam hal ini maka tidaklah menjadi kesalahan jika memakai pendapat yang mengatakan si murtad tidak dibunuh. 
”Seperti yang saya katakan tadi, golongan ini sebenarnya tidak membaca sendiri naskah asal yang ditulis oleh para ulama berkenaan. Mereka tidak menganalisis, apakah yang diperselisihkan oleh ulama itu, apakah perselisihan pendapat pada sesuatu hukum yang wajib, atau perselisihan dalam memahami sesuatu nas dan seumpamanya. Sebenarnya ia terlalu akademik untuk saya huraikan. Memadai jika saya katakan bahawa dakwaan mereka yang mengatakan tidak wujud ijma’ para ulama dalam masalah hukum bunuh terhadap orang-orang yang murtad, adalah tidak benar. Perlu saya tegaskan sekali lagi bahawa hukuman bunuh ke atas si murtad yang mengisytiharkan kemurtadannya dan tidak kembali kepada Islam adalah satu hukuman yang telah disepakati oleh para ulama khususnya semenjak zaman generasi para Sahabat r.a. lagi.
Malahan, dalam isu ini, golongan ini sebenarnya cuba memesongkan pemikiran kita dengan memperbesar-besarkan masalah ijma’ ulama. Saya katakan demikian kerana dalam kaedah penetapan hukum, kita sepatutnya merujuk kepada al-Quran terlebih dahulu. Jika tiada, kita rujuk pula pada hadis Nabi Muhammad saw, jika tiada baharulah merujuk kepada ijtihat para ulama dalam masalah tersebut. Dalam hal ini, sudah jelas adanya Hadis Nabi Muhammad saw. Tetapi mereka mengenepikan hadis-hadis tesebut, sebaliknya memberi penekanan kepada pendapat ulama yang terkemudian. Inilah yang saya katakan sebagai cubaan memesongkan pemikiran kita. Maknanya, mereka berhujjah bukannya dengan niat atau tujuan yang baik.”   
Ustaz Mohsein berhenti sebentar untuk membasahkan tekaknya setelah menyampaikan syarahannya dengan begitu bersungguh-sungguh. Beliau kemudiannya membacakan sebuah hadis Rasulullah saw berkenaan ijtihad. Hadis tesebut diriwatkan oleh At-Termizi (1344) yang bermaksud:
Hannad menceritakan kepada kami, Wakie' menceritakan kepada kami dari Syu'bah dari Abu Aun dari Al-Harits bin Amr dari orang-orang lelaki sahabat Muadz dari Muadz; Bahwasanya Rasulullah saw mengutus Muadz ke Yaman. Beliau bersabda: "Bagaimana kamu memutus?" (Muadz menjawab): "Saya memutus dengan hukum yang berada didalam kitab Al Quran". Rasulullah bersabda: "Kalau hukum itu tidak terdapat di kitab Allah?" Muadz berkata: "Saya akan memutus dengan sunnah Rasulullah". Rasulullah bersabda: "Kalau hukum itu tidak terdapat dalam sunnah Rasulullah?" Muadz menjawab: "Saya berijtihad dengan pendapatku". Rasulullah bersabda: "Segala puji,. bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah".
”Apa maksud hadis?” Tanya Ustaz Mohsein. ”Kalau kita tanya kepada kebanyakan orang-orang kita Melayu, apa itu hadis, saya percaya mereka akan menjawab hadis itu adalah kata-kata dari Rasulullah saw. Ini adalah pengalaman saya semenjak mengajar beberapa tahun lepas. Itulah yang menjadi pegangan mereka sejak zaman berzaman. Mereka tidak tahu bahawa hadis bermaksud segala apa yang disandarkan kepada nabi Muhammad saw samada percakapannya, perbuatannya, sifat tubuh badan atau kelakuannya, ketetapan dan juga perjalanan hidup Rasulullah saw itu sendiri.”
”Ilmu hadith itu apa pula?” Tanya Ustaz Mohsein lagi. “Ini lagi lah. Berapa kerat sahaja yang tahu.” Kata Ustaz Mohsein lagi.”Kita orang Melayu telah pun merdeka dari penjajah sejah lebih 50 tahun lalu. Kalau kita ikut logik akal, orang-orang Melayu sepatutnya sudah mempunyai asas yang kukuh dalam ilmu agama. Kita sepatutnya boleh menjawab dengan baik jika ada orang bertanya apa itu ilmu hadith. Bayangkan kalau orang bukan Islam bertanya kepada kita, apa itu ilmu hadith dan kita tidak mampu menjawabnya dengan baik, tak malu ke? Tetapi itulah kenyataan yang ada sekarang ini. Siapa nak disalahkan?”

”Ilmu hadith ialah suatu ilmu yang disepakati oleh ulama’ hadith tentang sanad, matan, cara hadith disampaikan oleh perawi, cara perawi menerima hadith, dan sifat-sifat perawi yang meriwayatkan hadith itu sendiri” Ustaz Mohsein memberi jawapan kepada pertanyaan yang dikemukannya itu. Seterusnya dia menjelaskan bahawa ilmu hadis itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu hadis Riwayah dan ilmu hadis Dirayah. ”Kalau nak tahu apa itu hadis Riwayah dan apa itu hadis Dirayah, carilah kitab-kitab hadis atau belajarlah jika ada ustaz yang mengajar ilmu hadis” Kata Ustaz Mohsein lagi.
”Kita sambong perbicaraan kita tentang golongan-golongan yang membuat tuduhan bahawa hukum bunuh terhadap orang yang murtad adalah rekaan ulama. Golongan yang ketiga adalah orang-orang Melayu yang begitu taksub dengan politik kebangsaan mereka. Mereka sengaja mengatakan bahawa hukum bunuh terhadap orang yang murtad adalah rekaan para ulama yang menyokong perjuangan parti Islam. Pada hemat saya, mereka ini adalah cabang daripada golongan kedua tadi. Tinggal lagi, mereka ini bergiat dalam politik dan membuat tuduhan yang sedemikian itu semata-mata bermotifkan politik, untuk memburuk-buruk musuh politik mereka.”
”Tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari sendiri  pun boleh berfikir, adakah logik hukuman bunuh terhadap orang yang murtad direka-reka oleh ulama yang hidup dizaman ini, sedangkan hukum tersebut telah pun dinyatakan oleh Rasulullah saw lebih kurang 1400 tahun dahulu. Adakah mereka ingin memberi tahu kita bahawa hadis-hadis tersebut adalah hadis palsu, atau mereka sebenarnya mendedahkan kejahilan diri mereka sendiri.”
Sekali lagi ustaz Mohsein mengambil segelas air untuk membasahkan tekaknya. Kemudian dia meneruskan ceramahnya.
”Tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari yang dirahmati Allah. Salah satu sebab yang menyebabkan sesaorang itu murtad adalah mempertikaikan atau mempersenda-sendakan hukum-hakam yang ditentukan oleh Allah. Jangan sekali-kali kita menyindir atau memperolok-olokkan hukum-hakam yang sedia termaktub didalam Al-Quran. Saya pernah terbaca diakhbar-akbar yang memaparkan kata-kata dari orang yang mengaku beragama Islam, tetapi memperolok-olokkan hukum-hakam Allah. Mereka kata hukum-hakam itu primitif, tidak sesuai lagi digunapakai dizaman milenium ini. Sehingga ada yang mengungkapkan kata-kata;
"Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja."
Ada juga yang mengatakan bahawa perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan."
"Didalam kempen pilihan raya baru-baru ini, dihadapan orang-orang bukan Islam, ada pemimpin Melayu yang mengaku berugama Islam, sanggup menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan mengatakan  bahawa parti Islam jika berjaya menubuhkan kerajaan, maka mereka akan melaksanakan undang-undang yang akan memotong tangan-tangan kamu jika mencuri. Sebagaimana yang telah saya jelaskan tadi, orang yang berkata sedemikian itu, mengikut hukum Allah dia telah murtad, kecuali dia benar-benar jahil dalam agama Islam.” Ustaz Mohsein terdiam sebentar.

“Sebuah hadith shahih, yang diriwayatkan oleh Ibu Majjah dari ’Ubadah bin Ash-Shamit ra katanya; Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, Tegakkan hukum hudud Allah kepada orang yang terdekat dan orang yang jauh, dan dalam melaksanakan hukum Allah maka janganlah hendaknya celaan orang yang mencela mencegah kamu dari melaksanakannya.”
“Saya ingin tuan-tuan, puan-puan, saudara, saudari yang hadir dalam majlis ilmu ini, mengambil perhatian tentang ungkapan “celaan orang yang mencela” seperti yang termaktub dalam hadith ini”.
“Apa itu celaan? Celaan itu mengkritik sesuatu kerana kecacatannya. Kalau celaan itu merujuk kepada hadith maka ia bermaksud hadith tersebut tidak betul atau tidak sesuai pada pandangan orang yang mencela. Kita ambil contoh, jika ada orang berkata, ”Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.” maka ini adalah celaan. Siapa orang yang mencela? Orang yang mengungkapkan kata-kata celaan tersebut.” jelas Ustaz Mohsein.
”Para hadirin yang dikasihi sekelian. Rasulullah saw telah memberitahu sahabatnya, dalam hadith ini, ’Ubadah bin Ash-Shamit ra lebih dari 1430 tahun dahulu bahawa janganlah hendaknya celaan orang yang mencela mencegah kamu dari melaksanakannya. Maknanya, akan ada orang yang akan mencela hukum hudud dari dulu hinggalah dunia ini kiamat. Kita sendiri pun telah melihat ia berlaku dizaman kita. Ia juga bermakna orang yang mencela hukum hudud adalah orang yang mencela al-quran kerana hukum hudud adalah sebahagian dari al-quran. Siapa yang mencela al-quran? Orang yang mencela al-quran adalah orang yang akan dicampakkan oleh Allah kedalam neraka Saqar seperti yang Allah jelaskan dalam surah al-Muddaththir ayat 11 hingga 26, dan ayat 42 hingga 46. Sila buka al-quran dan rujuk surah dan ayat-ayat tersebut.” Kata Ustaz Mohsein.
”Hukum hudud adalah suatu ketentuan yang benar dan sahih dari Allah yang termaktub dalam al-quran. Kita ambil contoh kalau sesaorang itu mencuri. Dalam surah al-Maidah ayat 38, Allah berfirman yang mafhumnya,

[5:38Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dalam kes zina, dalam surah An-Nuur, ayat 2, Allah berfirman yang mafhumnya,

[24:2] Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

”Bukankah ketentuan Allah ini jelas, bukan ayat mutasyabihat” kata Ustaz Mohsein. ”Apakah mereka merasakan lebih pandai dari Allah. Apakah mereka menafikan logik akal bahawa Allah lah yang sepatutnya lebih tahu keperluan makhluk yang diciptanya sendiri? Ada yang terang-terangan menentang usaha untuk menubuhkan negara Islam. Walhal itu adalah satu tanggung-jawab seluruh umat Islam” kata Ustaz Mohsein lagi. ”Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 36 yang mafhumnya;

[33:36] Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Dan dalam surah al-Baqarah ayat 208, Allah memberi peringatan yang sangat tegas, mafhumnya,

[2:208Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Barang siapa yang ingkar akan perintah Allah, maka ia tergolong dalam golongan orang yang zalim seperti Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 35, mafhumnya,

[2:35Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
“Dalam ayat ini Allah melarang Nabi Adam as dari menghampiri sepohon pokok didalam syurga. Kalau ikut logik akal, apalah salahnya kalau sekadar mendekati pokok, bukannya memanjat pokok atau menebang pokok tersebut. Tetapi itulah larangan dari Allah yang mesti dipatuhi oleh makhluk yang dicipta oleh Allah. Kita ini sebenarnya hamba. Tuan kita Allah. Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah mentakdirkan kita sebagai hambanya yang merdeka.
Maknanya kita bebas menjalani kehidupan kita dimuka bumi yang diciptakannya. Kita tak perlu membayar oksijen, air, cahaya, tanah dan macam-macam lagi yang disediakannya untuk kita. Malahan, disebabkan kasih sayangnya terhadap manusia, disediakannya garispanduan untuk kita menjalani kehidupan didunia kalau kita nak merasa hidup bahagia. Diberinya kita akal untuk berfikir. Sekiranya kita tidak mahu mengikut atau tidak mahu mematuhi garispanduan yang disediakannya untuk mencapai kebahagian hidup didunia, bermakna kita ini zalim. Siapa yang kita zalimi? Sekurang-kurangnya kita menzalimi diri kita sendiri. Maka wajarlah Allah menjatuhkan hukum yang setimpal keatas orang-orang yang zalim diakhirat nanti” hurai Ustaz Mohsein.

”Jelas sejelas-jelasnya, sesiapa yang mengingkari perintah Allah maka dia tergolong dalam golongan orang yang zalim. Dalam surah Ibrahim ayat 42, Allah berfirman yang mafhumnya,

[14:42Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

Dalam surah al-A’raf ayat 182 pula, Allah berfirman yang mafhumnya,

[7:182Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

Allah menangguhkan atau melambatkan pembalasan terhadap golongan orang yang zalim kerana Allah maha berkehendak. Kadang kala Allah membuat ”istidraj” keatas orang-orang yang zalim ini. Maka bertambah-tambahlah kekufuran mereka. Bila tiba masanya, barulah orang-orang zalim ini akan terkejut berok, terbelalak mata mereka, menggigil seluruh anggota mereka, lemah longlai segala sendi-sedi mereka, melihat azab yang maha dahsyat yang disediakan untuk mereka” begitulah penjelasan yang diberi oleh Ustaz Mohsein. 

Disepanjang ceramah tersebut Fakih kyusuk mendengar dan membuat catatan apa-apa yang difikirkannya penting sebagai rujukan. Itu pun ditulisnya dalam tulisan rumi kerana dia sudah tidak mahir lagi menulis dalam tulisan jawi. Inilah kesannya apabila sistem pendidikan dipolitikkan sehingga sekolah-sekolah agama rakyat ditutup. Sebenarnya tidak ramai yang membuat catatan melainkan mendengar sahaja ceramah tersebut. Terlalu sedikit yang mempelajari dan mengamalkan adap-adap dalam menuntut ilmu. Sebab itulah agaknya, kuliah-kuliah agama yang dijalankan dimasjid-masjid dan surau-surau, tidak menampakkan kesan kepada masyarakat. Kata orang, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Sejauhmana ilmu yang mereka dapat hanya Allah sahaja yang tahu.  

Sebaik sahaja Ustaz Mohsein selesai menyampaikan kuliahnya, Fakih terus bangun. Dia berjalan kearah Ustaz Mohsein dan bersalam dengannya. ”Terima kasih Ustaz.” Kata Fakih. Ustaz Mohsein tersenyum. Dari pengamatan Fakih dibeberapa Majid yang pernah dia pergi, amalan bersalam dengan tuan guru sebaik sahaja kuliah selesai sudah tidak diamalkan lagi. Bersalaman dengan tuan guru adalah sebahagian dari adap untuk mendapat keberkatan ilmu yang disampaikan oleh tuan guru tersebut. Sebab itulah agaknya ilmu yang disampaikan tidak membawa keberkatan kepada jemaah yang mendengarnya.

Selesai solat Isya’, Fakih terus balik kerumahnya. Dirumah, isterinya telah siap menyediakan makan malam. Mereka makan bersama-sama anak-anak mereka. Makan bersama-sama seisi keluargan juga mendatangkan keberkatan dalm kehidupan.   

Malam makin tua. Tetapi deruman kenderaan dilebuh raya dan jalan disekitar taman perumahan masih tiada redanya. Sekali sekala deruman kenderaan begitu kuat. Berlumba agaknya. Fakih masih termanggu ditingkap apartmen kediamannya melihat suasana malam di taman perumahan yang terancang  dengan baik. Itulah hasil dari usaha-usaha pembangunan yang dijalankan oleh pemerintah. Kalau dulu tapak perumahan ini adalah kawasan hutan berpaya tetapi kini hanya padang bola sekolah yang berhampiran sahaja yang masih menunjukkan sifat-sifat tanah yang asal. Kalau hujan dipetang hari, air akan bertakung dan burung gagak serta burung-burung lain akan berpesta mandi dilopak-lopak air ditengah padang. Keesokan harinya pun belum tentu lopak-lopak air tersebut akan kering. Bermakna murid-murid sekolah tersebut tidak dapat menggunakan padang itu untuk beriadah.

Kepala Lembu

Fakir termenung memikirkan berita di television jam 10.00 malam tadi. Bermacam-macam perasaan bermain dibenaknya. Sedih ada, marah pun ada. Dia sedih memikirkan nasib bangsanya yang semakin hari semakin hanyut mengikut arus zaman dan tak kurang yang sudah tenggelam oleh gelombang hidup. Dulu Bangsa Melayu dikenali sebagai bangsa yang berbudi pekerti luhur kerana ia dikaitkan dengan Islam. Bangsa Melayu dan Islam seolah-olah sinonim. Sehinggakan ada yang beranggapan Melayu itu islam dan Islam itu Melayu. Anggapan ini bukan sahaja dikalang bangsa bukan Melayu tetapi dikalang Bangsa Melayu itu sendiri. Ini menjadikan orang bukan Melayu takut untuk masuk Islam kerana takut masuk Melayu. Kalau masuk Melayu mereka terpaksa meninggalkan budaya mereka. Yang paling ditakuti mereka ialah bila mereka terpaksa masuk jawi atau kena ”sunat”.

Dalam telivisyen tadi diwar-warkan berita sekumpulan orang Melayu berarak mengusung kepala lembu menuju ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kerana membantah pemindahan kuil hindu. Fakih termenung memikirkannya. Apakah tindakan mereka itu betul? Betul atau salah mesti berdasarkan dalil. Dalil terbahagi kepada dua, iaitu dalil Qat’e atau dalil Dzanni. Dalil Qat’e adalah dalil-dalil yang disepakati oleh ulama’. Ada dalil qat’e tsubut iaitu sumbernya yang pasti dan ada pula dalil qat’e al-dilalah iaitu maksud yang pasti. Dalil-dalil ini mestilah bersumberkan al-Quran, as-sunnah, Ijma’ atau Qias.

Ayat-ayat Al-Quran itu sendiri boleh dibahagikan kepada dua iaitu ayat-ayat Muhkamat iaitu ayat yang terang dan jelas maksudnya, dapat difahami dengan mudah kepada sesiapa yang faham bahasa arab, dan ayat mutasyabihat iaitu ayat yang boleh memberi dua pengertian. Sementara Dalil dzanni adalah dalil-dalil yang tidak disepakati oleh ulama’ seperti istihsan, masalih al-Mursalah, uruf dan istishab. Fakih mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah bersetuju dengan kata-kata yang bermain dalam benaknya.

“Aku bersyukur kepada mu ya Allah kerana memberi sedikit kefaham dalam agama mu. Allah hu akbar”. Fakih menadah kedua tangannya seolah-olah berdoa dan menyapu mukanya. Dengan rendah hati dia berkata sendirian, ”La hau la wala ku wata ila billah”. Dia berteleku semula dijendela. Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohsein tadi masih bermain dikepalanya. Akidah bukan isu main-main. Adakah orang Melayu benar-benar faham masalah akidah? Atau orang Melayu hanya Islam disebabkan keturunannya Islam? Negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Tapi kefahaman dan penghayatan Islam macam orang bukan Islam. Masakan tidak? Solat seolah-olah adat bukan ibadah. Firman-firman Allah yang terpelihara didalam Al-Quran dipermain-mainkan. Hukum hakam ketentuan Allah dikatakan sudah tidak sesuai dengan zaman ini.   ”Astagfirullah......” terkeluar ungkapan itu dari hati nuraninya.
   
Fakih menyapu-nyapu mukanya dengan kedua telapak tangannya. ”Astagfirullahal azim.... ya Allah. Janganlah hendaknya engkau takdirkan akan daku dengan istidraj”. Fakih faham benar maksud istidraj. Dalam kamus Al-Muhit, istilah ”Istidrajullah al-abda” atau Allah mengistidrajkan hambanya, membawa pengertian lebih kurang setiap kali sesaorang manusia membuat/ menambah/ membaharui kesalahan yang baru, maka setiap kali itu juga Allah akan membuat/ menambah/ membaharui nikmatNya ke atas orang tersebut, dan setiap itu juga Allah membuatkan hambaNya itu lupa, lalai dari memohon ampun atas dosa yang dilakukan terhadapNya. Orang itu merasakan dia mendapat rahmat Allah kerana mendapat limpahan kesenangan yang tidak putus-putus walaupun dia melakukan dosa. Tetapi malangnya, dia sebenarnya tertipu dengan nikmat yang Allah berikan itu. Apabila tiba masa yang ditentukan oleh Allah, maka segala nikmat yang diberinya itu akan dicabutNya secara mendadak. Maka terkejut beroklah orang itu. Terpinga-pinga. Ketika itu, tiada lagi peluang untuk nya bertaubat. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hambaNya di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, sedangkan hambaNya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah ISTIDRAJ". Selepas itu Rasulallah s.a.w pun membaca ayat 44 hingga 45 dari surah Al-An'am yang mafhumnya;

[6:44Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
[6:45Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam".

Fakih terus berfikir sendirian, ”Apa yang boleh, dan apa yang tak boleh dalam menjalani kehidupan didunia ini telah dijelaskan didalam Al-Quran dan hadith. Tetapi kenapa perkara-perkara yang dilarang itu berleluasa. Kalau macam ni ler sikap orang Melayu bermakna mereka sebenarnya tidak mengetahui apa sebenarnya terkandung dalam al-quran. Apatah lagi hadith-hadith nabi. Mereka hanya bercakap mengikut pendapat mereka yang didorong oleh nafsu, bukan berdasarkan ilmu dan takwa”. Fakih menggosok-gosok kepalanya.


”Kalaulah pemimpin yang mengaku beragama Islam bersikap macam tu, bolehkah kita buat suatu rumusan bahawa orang Melayu benar-benar berpegang kepada ajaran Islam seperti yang diwar-warkan? Suatu peribahasa China yang bermaksud seekor ikan akan rosak bermula dari kepalanya, cukup baik untuk direnungi. Sejauhmanakah agaknya pengetahuan orang Melayu dalam ilmu tauhid, ilmu fekah, ilmu tasawuf, al-quran dan hadith seperti yang sepatutnya dipelajari dan diamalkan sebagai seorang Islam? Isshhh ... kalau begini..... kebanyakan orang Melayu sebenarnya jahil dalam Islam. Banyak benda yang mereka tak tahu” Fakih membuat kesimpulan sendiri.

Dia cukup yakin bahwa kebanyakan orang Melayu sebenarnya jahil dalam agama. Kalau tidak, masakan mereka sanggup melakukan hal-hal yang dilarang oleh Allah tanpa rasa bersalah. Kalau mereka benar-benar mengenali Allah, mereka akan patuh kepada segala yang diperintahkan oleh Allah samada dalam bentuk suruhan atau tegahan. Ungkapan keramat dalam hadith qudsi pun ada, "AwwalludDin Maarifatullah", bermulanya Agama itu adalah dengan mengenal AllahDalam surah al-Anfal, ayat 2, 3 dan 4, Allah berfirman yang mafhumnya;

 [8:2Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

[8:3Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.

[8:4Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

”Patutlah banyak sangat kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat Melayu ni” bisik hati Fakih. Tiba-tiba satu dentuman kuat berbunyi dari arah lebuh raya. Terperanjat Fakih dibuatnya. ”Itu bunyi kemalangan” bisik hatinya. Fakih cuba meninjau-ninjau kearah lebuh raya walaupun dia tahu pandangannya dilindungi oleh deretan rumah dua tingkat dan pokok-pokok. Dia mendengar deruman kenderaan makin perlahan dari arah lebuh raya tersebut. Tak lama kemudian dia mendengar bunyi siren polis dan ambulan. ”Sah... kemalangan ... entah lah apa nak jadi... jalan raya dah jadi litar lumba” keloh Fakih.

Dia terbayang suatu kemalangan ngeri dihadapan matanya beberapa bulan lepas. Ketika itu dia dalam perjalan balik dari bercuti diutara semenanjung, sekitar jam 5.30 petang dilebuhraya utara-selatan. Maklumlah dilebuhraya. Masing-masing pecut semacam. Had kelajuan tu tolak tepi. Tiba-tiba sekumpulan anak muda Melayu bermotosikal memotong kereta yang dipandunya. Tak kurang dari 6 buah motosikal memecut laju.

Penunggang yang seorang ini memang mencari maut. Dia menerap dan berlunjur diatas motosikalnya sambil memecut. Inilah aksi mat rempit yang selalu diperkatakan. Mat Rempit ni  
Gambar hiasan dari blog
http://lamanizzs.blogspot.com/

mengekor rapat kereta dihadapannya. Ditakdirkan Allah, tiba-tiba tayar kereta tersebut meletop dan berpusing. Mat Rempit terus merempoh kereta berkenaan dan terbang macam aksi musang mengejar ayam dalam cerita karton road runner. Dia tercampak kehadapan melepasi pembahagi jalan dan
terhepas dijalan raya diarah yang bertentang. Bila ajal sudah tiba, tiada apa yang boleh melengahkannya. Sebuah kereta pacuan 4 roda terus merepoh mangsa, dan disitulah kesudahan kesah hidupnya didunia. Badannya hancor, lunyai. Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Apa nak dikata. Akal yang dianugerahkan Allah tidak diguna dengan sebaiknya. Kesudahanya, mati  dalam keadaan hina. Dalam surah Qaf ayat 19, Allah berfirman yang mafhumnya,

[50:19] Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"

Dalam surah al-Munafiqun ayat 11, Allah berfirman yang mafhumnya,

[63:11] Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang(atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Tetapi, kematian tidak pula bermakna kehidupannya telah tamat. Sebaliknya, bermulalah suatu kehidupan baru dialam baru sebelum tiba masa perhitungan amal dimahkamah teragong robbul jalil.

[22:7 ] Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.

Dialam ini tiada apa yang boleh dibuat lagi, melainkan menunggu hari  perbicaraan di Mahkamah Agong Robul Jalil. Setiap amal perbuatan akan diperhitungkan samada menepati hukum-hakam yang telah ditentukan oleh pencipta alam.

[2:48] Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya. seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

[21:47] Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk(menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.

Berbahagialah mereka yang berusaha menyediakan bekalan. Sebaliknya, sesalan yang tidak berkesudahan bagi mereka yang lalai dan yang ingkar, tidak mahu mengambil perhatian atas peringatan demi peringatan yang diberikan. Allah berfirman dalam surah at-Takaathur ayat 5 yang mafhumnya,

[102:5] Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi). dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

Fakih menutup daun tingkap cermin dan menuju kebiliknya. Jam dinding diruang tamu menunjukan jam sekitar 11.00 malam. Tapi matanya masih belum mengantuk. Dia kemudian menuju ke meja komputer. Disitu terletak sebuah komputer meja yang sudah hampir setahun dibelinya. Dengan komputer itulah dia mencari apa-apa maklumat-maklumat yang diperlukannya. Persoalan orang Melayu mengarak kepala lembu masih bermain dikepalanya. ”Adakah mereka ini tahu perbuatan tersebut salah dari sisi ajaran Islam. Ia akan menjejaskan imej Islam itu sendiri dimata orang bukan Islam. Masakan tidak. Mereka melakukan perbuatan bodoh itu dibulan Romadhan sambil bertakbir .... Astagfirullah”

Fakih terus sahaja melayari laman gmailnya apabila komputer sudah sedia untuk digunakan. Dia ingin menghantar email kepada kenalannya yang sedang melanjutkan pelajaran diperingkat doktor falsafah di Universiti Al-Azhar Mesir. Dia ingin tahu apa pandangan Islam tentang perlakuan mengarak kepala lembu tersebut. Setelah selesai email dihantar, dia mula menggali maklumat didalam internet, kalau-kalau ada maklumat lain berkaitan dengan peristiwa tersebut.
”Ini dia dalilnya. Dalil qat’e. Bukankah al-quran itu tempat membuat rujukan” bisik hatinya. Dia bertemu dengan suatu dalil qat’e yang boleh dikaitkan dengan perbuatan tersebut. Ia terkandung dalam surah al-An’aam ayat 108. Allah berfirman yang mafhumnya,

[6: 108Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

”Jelas sungguh mereka ini tidak mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam” Bisik hati Fakih. Allah melarang orang Islam mencerca apa-apa yang dijadikan sembahan oleh orang bukan Islam. Yang Allah suruh adalah berdakwah kepada mereka bukan mencerca sembahan mereka. Sekiranya orang Islam mencerca sembahan mereka, maka itu akan memberi ruang dan alasan untuk mereka mencerca Allah pula. Maknanya, gerombolan Mat Laun ini berdosa kerana menjadi penyebab Allah dicerca. Mengapalah mereka ni jahil sangat? Mengarak kepala lembu pada hari jumaat ... sambil bertakbir pulak tu.... dalam bulan Romadhan lagi... Astagfirulla hal ’azim. Fakih mengeluh panjang. ”Apa punya tahap bengong ni .... jahil ... memang jahil bebetul.”

Fakih terus menggali maklumat dalam internet. Issh ... rupa-rupanya anggota gerombolan Mat Laun ni bukan penduduk tempatan. Rupa-rupanya orang luar yang sengaja mengambil kesempatan. Ini sudah berperangai macam setan. Apa nak jadi dengan orang Melayu ni? Bertakbir memuji-muji Allah. Tetapi kepala lembu yang diarak. Boleh ke mengarak kepala lembu sambil memuji-muji Allah... silap haribulan perbuatan ini sudah jatuh syrik... na’uzubillah. Perasaan marah mula terbit disanubari Fakih apabila nama Allah, tuhan yang maha agong itu dilaung-laungkan bukan pada tempatnya. Mereka melaung-laungkan nama Allah sambil melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah. ”Ini memang kes bangang ....mereka ni memang bangang”. ”Astagfirulla hal’azim ... Astagfirulla hal’azim..” Fakih beristigfar berulang-ulang kali untuk mengendurkan perasaan marahnya. Dia bersolawat keatas Nabi beberapa kali kerana bersolawat keatas nabi boleh menenangkan hati.

Setelah puas dia melayari internet dia pun menutup suis komputernya. Dia bangun menuju kebilik air untuk mengambil wuduk.  Selepas solat witir dia pun melelapkan matanya.