SELOKA MILENIUM
Gembira hati orang beriman,
Bertemu dengan bulan Romadhan,
Semoga puasa ada peningkatan,
Demi kebahagiaan hari kemudian.
Rebutlah segala peluang keemasan,
Beribadahlah dengan penuh keikhlasan,
Dibulan yang menjanjikan berbagai ganjaran,
Kepada yang melakukan amal kebajikan.
Hidup didunia bahagialah sudah,
Tinggal dibanglo tersergam indah,
Harta kekayaan melimpah ruah,
Fikirkan kubur tempat berpindah.
Akan tiba harinya nanti,
Kita dipindahkan keperut bumi,
Dari banglo yang menjulang tinggi,
Tinggal disana seorang diri.
Setiap hari umur meningkat,
Pintu kubur bertambah dekat,
Asyik bersumpah serta berdebat,
Melakukan ibadah langsung tak sempat.
Apa jadi bangsa melayu,
Berpelajaran tinggi tak tahu malu,
Bersengkita berbalah tak jemu-jemu,
Lantaran diperkudakan hawa nafsu.
Menentang nafsu manusia kalah,
Walaupun dia pintar dan gagah,
Masuk universiti beranak tanpa nikah,
Berjawatan tinggi menerima rasuah.
Bila tertangkap menyembunyikan muka,
Songkok putih dipakai diatas kepala,
Peguam dicari untuk membela,
Dimahkamah akhirat tak ada peguambela.
Golongan atasan atau bawahan,
Diakhirat ditanya tentang kekayaan,
Dari mana dapat kemana dibelanjakan,
Bersedialah sekarang memberi penjelasan.
Disepanjang Romadahan berkerja kuat,
Mengumpul wang sebanyak yang dapat,
Menjelang malam badan pun penat,
Depan televisen duduk berehat.
Menghayati Romadhan demikian rupa,
Jelas membawa duka nestapa,
Diakhirat kelak menjadi papa,
Nak minta bantuan kepada siapa?
Romadhan pergi syawal mengganti,
Mandilah sunat dipagi hari,
Jamahlah makanan sebelum pergi,
Menunaikan solat 'idil fitri.
Hari kedua 'idil fitri,
Puasa sunat enam hari,
Nafsu menentang hebat sekali,
Baru puasa nak puasa lagi.
Takbir bergema melahirkan kesyukuran,
Selesai puasa selama sebulan,
Menjadikan hari raya pentas hiburan,
Perbuatan jahiliah diakhir zaman.
Kegilaan umat Islam diakhir zaman,
Mencemarkan Romadhan berpesta makan,
Menyambut hari raya disepanjang bulan,
Tidakkah bidah perbuatan demikian?
Mendakwa diri penegak sunnah,
Perbuatan orang lain semua bidah,
Terasa hati bangga dan megah,
Begitukah ajaran baginda Rasulullah?
Perbuatan bidah menjadi-jadi,
Keruntuhan akhlak dahsyat sekali,
Duit masjid habis dikebas pencuri,
Kenapa bijak pandai mendiamkan diri?
Menyampaikan ceramah berapi-rapi,
Bagai nak runtuh kubah yang tinggi,
Bertempek bernasyid berselang-seli,
Almaklumlah suara ku sedap sekali.
Majlis ilmu tidak difahami,
Sekadar melontar pendapat sendiri,
Kitab muktabar ditolak tepi,
Tidak sesuai lagi dizaman ini.
Amalan ulamak silam dipersenda,
Semuanya bidah sesat belaka,
Pendapat aku yang betul semua,
Itulah sikap ulamak hantu raya.
Selesai Isya’ lampu ditutup,
Mengimarahkan masjid tidak diikut,
Jemaah yang singgah akan merungut,
Dimanalah tempat aku nak sujud.
Forum Perdana disana sini,
Membincangkan masalah untuk diatasi,
Berbagai cadangan dan resolusi,
Tenggelam punca masjid dikunci.
Budaya Melayu suka berhibur,
Menyebabkan mereka lupakan kubur,
Pemimpin bersengketa melayu hancur,
Berubahlah sebelum nasi jadi bubur.
UMNO kata memperjuangkan Islam,
Tapi hukum Allah dikesampingkan,
Bersengketa dengan PAS siang dan malam,
Tak nampakkah Melayu lemas nak tenggelam.
Ada warga emas nasibnya malang,
Menyambut hari raya tanpa kasih sayang,
Pengorbanan mereka tidak dikenang,
Kerumah orang tua dihantar menumpang.
Seloka Milenium diatas adalah sadoran dari karya asal Ayahanda Tn Guru Hj Badaruddin Hj Amran yang telah diubahsuai oleh penulis. Mudah-mudahan ia memberi menufaat kepada pembaca budiman.
ReplyDelete